Thursday, October 4, 2007

Cantas Khairyisme, Cegah Gengsterisme

Anak-anak muda kini, lebih tepat, anak muda Melayu yang tebal sifat rasisnya punya ideologi hidup yang baru. Mereka punya idola baru. Dulu, masyarakat kita kenal dan gerun dengan istilah-istilah seperti sosialisme, komunisme dan Marxisme, tetapi hari ini telah wujud istilah atau fahaman pemikiran dan budaya hidup yang jauh lebih menakutkan iaitu ‘Khairyisme’.

Jika Karl Marx mempelopori aliran Marxisme; teori politik dan ekonomi yang memperjuangkan kesamaan taraf manusia dan mengangkat falsafah sosialisme, Khairy Jamaluddin pula mengasaskan budaya dan aliran Khairyisme; praktik samseng dan ganas ala gengster dalam mencapai cita-cita politik nasional. Budaya politik baru yang diasaskan oleh bekas lulusan Universiti Oxford ini sememangnya perlu dibimbangi. Dengan mengangkat martabat kutu berahak dan samseng jalanan sebagai ikon anak muda, jelas ada sesuatu yang tidak kena dengan pemikiran oportunis muda ini.

Apa yang pasti, budaya Khairyisme ini perlu dicegah dari terus meresapi nurani dan akal budi anak-anak muda kita. Indoktrinasi berbau perkauman dan ancaman terhadap perpaduan nasional merupakan antara intipati aliran ganas ini. Eksperimentasi terhadap ideologi ini telah dipraktikkan buat pertama kali oleh penganutnya ketika pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Ijok pada bulan April yang lalu. Tentu ramai yang masih ingat pada hari penamaan calon ketika mana kumpulan penyokong parti Barisan Nasional (BN) yang dikepalai oleh anak-anak muda United Malays National Organization (UMNO, dalam tutur Bahasa Melayu sebetulnya diungkap ‘am-no’ dan bukan ‘um-no’) mencetuskan kekecohan melalui provokasi ganas dan tindak-tanduk agresif dengan melontar botol, batu dan kayu terhadap kumpulan penyokong parti pembangkang.

Insiden yang diketuai oleh Ketua dan Naib Ketua Pemuda BN itu sememangnya menonjolkan persepsi yang kurang enak di kalangan masyarakat khususnya anak muda. Tambah memalukan, Ketua Pemuda BN juga merupakan seorang Menteri Pelajaran! Adalah tidak menghairankan jika hari ini kita melihat tahap kebejatan dan kemerosotan moral golongan muda khususnya pelajar sekolah semakin membimbangkan. Jika menteri yang bertanggungjawab dalam ehwal pendidikan juga menganut aliran Khairyisme, apa lagi anak-anak muda yang masih di bangku persekolahan ini. Bak kata pepatah, jika guru kencing berdiri, muridnya pula kencing berlari!

Saban hari, media memaparkan betapa kroniknya budaya samseng dalam dunia anak-anak remaja ini. Dari kes buli, peras ugut, lumba haram, rogol, kegiatan gengster sehinggalah kes bunuh, rata-rata ke semuanya melibatkan golongan muda. Lebih menakutkan ialah bila mana pelajar-pelajar sekolah juga merupakan antara golongan yang terjebak dalam gejala negatif ini.

Jelas, semakin kita dewasa, semakin bejat sahsiah generasi muda kita. Dalam negara menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-50 Ogos ini, generasi belia kita masih jauh ketinggalan dari segi moral dan kesusilaan. Dek kerana sikap segelintir pemimpin (ada di antaranya bertaraf menteri dan ahli parlimen) yang menonjolkan imej samseng dan gengster, maka tempiasnya turut mempengaruhi tingkah laku generasi muda kita.

Apa yang pasti, usaha untuk mencegah penularan budaya samseng dan gengsterisme ini seharusnya dimulakan dari rumah dan sekolah. Masyarakat, khususnya ibu bapa dan barisan pendidik perlulah menekankan peri pentingnya moral dan ketinggian sahsiah dalam diri anak-anak didikan mereka. Justeru, tugas melengkapkan diri anak muda dan para remaja dengan didikan agama serta mendidik mereka akan bahaya fahaman Khairyisme ini seharusnya dipikul oleh semua.

Selaras dengan kempen kerajaan dalam mempromosikan nilai-nilai murni berslogankan “Budi Bahasa Budaya Kita”, maka dari itu; aliran Khairyisme, pengasasnya dan para penganut aliran ini sewajarnya kita tolak dan kuburkan. Selagi mana fahaman Khairyisme terus subur dan pengasasnya didewa-dewakan, selagi itulah budaya gengsterisme akan terus mencemari generasi muda negara kita.

0 comments: