Thursday, October 4, 2007

Radio Swasta Di Tegur Utamakan Lagu Indonesia

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Kerajaan memandang berat tindakan radio swasta yang memberi keutamaan kepada penyiaran lagu-lagu Indonesia.

Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata Kabinet hari ini memberi perhatian rungutan artis tempatan terhadap masalah itu dan mengharapkan pertimbangan radio swasta agar tidak ghairah menyiarkan lagu-lagu Indonesia sehingga masyarakat melupakan lagu-lagu tempatan.

"RTM tidak mempunyai kuasa untuk mengawal radio swasta daripada menyiarkan lagu-lagu asing tetapi kekerapan penyiaran lagu-lagu Indonesia mengancam lagu-lagu artis kita.

"RTM mengutamakan lagu-lagu tempatan dan kalau ada lagu-lagu Indonesia pun tak sampai 10 peratus," katanya selepas menghadiri majlis berbuka puasa Kementerian Penerangan di sini.

Katanya sejak dulu kerajaan tidak mengambil tindakan atau mengadakan undang-undang untuk menyekat penyiaran lagu-lagu asing yang tidak melanggar etika.

"Kita kesal Indonesia tidak memberikan tempat yang sama kepada artis Malaysia sedangkan lagu dan filem Indonesia yang popular selalu disiarkan," kata Zainuddin.

Beliau mengingatkan artis tempatan supaya bersaing dengan kualiti lagu Indonesia untuk memenangi selera generasi muda dan dalam masa yang sama RTM sendiri akan membantu mempromosikan lagu artis tempatan.

Zainuddin turut menyalahkan sikap artis tempatan yang tidak berdisiplin dan tidak memenuhi kehendak pihak hotel ketika membuat persembahan menyebabkan mereka terpaksa memanggil artis luar.

Katanya RTM juga tidak memandang sepi persaingan stesen radio swasta yang mementingkan komersial supaya RTM tidak ketinggalan.

Menyentuh mengenai persaingan stesen televisyen menyiarkan drama Indonesia, katanya RTM akan mengawasi keadaan itu agar tidak merugikan penerbit drama tempatan dan tanggungjawab sosial RTM.

Mengenai rancangan `Fenomena Seni" yang tidak konsisten siarannya, Zainuddin berkata perkara itu tidak akan berlaku lagi kerana rancangan itu sudah menjadi satu ikon yang mempunyai ramai peminat.

"Jika kita terpaksa memberi laluan kepada slot penting yang lain, `Fenomena Seni' akan disiarkan lewat sedikit dan tidak dibatalkan seperti sebelum ini.

Zainuddin menyampaikan sumbangan kepada 40 anak yatim dari kampung Sekinchan dan Sungai Panjang dalam majlis itu yang turut dihadiri oleh timbalannya Datuk Seri Chia Kwang Chye, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Datuk Kamaruddin Siaraf, Pengurus Besar Bernama Datuk Azman Ujang dan Timbalan Ketua Pengarang Bernama Zulkefli Salleh.

-- BERNAMA

0 comments: