Friday, February 1, 2008

Faizal mula jalani hukuman!

KUALA LUMPUR 1 Feb. – Penyanyi Faizal Tahir yang dihukum melakukan kerja-kerja amal oleh 8TV selepas mencetuskan kontroversi kerana membuka baju pada konsert anjuran stesen televisyen itu, mula melaksanakan hukuman tersebut hari ini.

Sebagai permulaan, Faizal, 30, melakukan kerja-kerja pembersihan di sekitar rumah kebajikan Asrama Darul Falah kendalian Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini.

Bagaimanapun, penyanyi rock itu tidak menganggap kerja-kerja amal dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari itu sebagai sesuatu yang sukar.

“Saya tidak anggap ini sebagai kerja amal kerana saya sudah biasa melakukan kerja-kerja seperti ini apatah lagi saya berasal dari kampung.

“Cuma sudah dekat setahun saya tidak melakukan kerja-kerja seperti ini, apa pun kerja-kerja sebegini bagus untuk mengingatkan atau menginsafkan diri sendiri,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.


FAIZAL Tahir (dua dari kiri) melakukan kerja-kerja amal sebagai hukuman gara-gara insiden ‘buka baju’ yang dilakukannya dengan melakukan pembersihan di Asrama Darul Falah, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam.



Pada sesi menjalani hukuman itu, Faizal bersama para penghuni Asrama Darul Falah melakukan kerja-kerja pembersihan dan menanam anak pokok di sekitar rumah kebajikan tersebut.

Meskipun akur dengan hukuman melakukan kerja-kerja amal selama enam bulan itu, bapa kepada Ahmad Mikaeel Zidane, 3, dan Siti Raudhah Nur Iman, 1, tidak menafikan kritikan dan berita yang disiarkan menerusi media massa lebih memberi pengajaran kepadanya.

“Selama lebih kurang dua minggu pihak media massa termasuklah para peminat telah banyak memberi kritikan kepada saya.

“Saya anggap itu merupakan suatu pengajaran yang paling bermakna kepada saya. Ia benar-benar menginsafkan saya,” ujarnya yang juga finalis pertandingan One In A Million.

Namun katanya, pada masa yang sama masih ada pihak yang memberi sokongan dan kepercayaan kepadanya dalam meneruskan perjuangannya sebagai penyanyi dan pencipta lagu.

“Syarikat DC Super Heroes yang mengedarkan pakaian jenama watak-watak super hero seperti Superman melanjutkan kontrak saya sebagai duta mereka selama setahun.

“Selepas ini saya akan terus aktif seperti biasa termasuklah mencipta lagu-lagu baru dan menumpukan kepada Studio Aku.Muzik.Kamu yang terletak di Damansara,” katanya.

Faizal akan menjalani hukuman dengan menjalani kerja-kerja amal di Rumah Amal Cheshire, Selayang, Selangor pada 6 Februari ini.

Kerja-kerja amal tersebut diaturkan oleh pihak pengurusan Faizal iaitu 8 Unit, 8TV dan syarikat rakaman yang menaunginya, Monkey Bone Records.

Selain hukuman daripada stesen televisyen yang menjadi tempat beliau bernaung, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut menggantung rancangan siaran langsung berbentuk hiburan di stesen 8TV selama tiga bulan berkuat kuasa 15 Januari lalu.

Keputusan itu dibuat selepas stesen 8TV gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan semasa konsert siaran langsung ulang tahun keempat stesen televisyen terbabit pada 13 Januari lalu yang menyaksikan Faizal menyanyi tanpa memakai baju.

utusan.com.my




0 comments: