Sunday, November 25, 2007

Rakyat Malaysia raja syabu Asia

Berkas Raja Syabu Asia

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki rakyat Malaysia yang dianggap 'Raja Syabu Asia' diberkas polis Filipina selepas dikesan membina kilang dan makmal memproses dadah jenis syabu terbesar di negara itu. Syabu atau dikenali dengan jolokan 'kokain untuk penagih dadah miskin' dipercayai tidak sekadar diedarkan suspek untuk pasaran gelap dalam negara itu, malah diseludup ke China, Hong Kong, Taiwan, Thailand, Singapura dan Malaysia.

Difahamkan, suspek diberkas polis antinarkotik Filipina yang melakukan serbuan di dua rumah di daerah Barangay Pangsawitan dan Pangsanjan di selatan Manila, Rabu lalu. .

Suspek terbabit, Chin Soon Goon, 46, diberkas bersama seorang rakyat Singapura berusia 30 tahun dan dua rakyat China berusia 54 dan 36 tahun, selain tiga suspek warga Filipina.


Sumber polis Bukit Aman berkata, suspek dan rakannya disyaki ahli sindiket dadah antarabangsa yang aktif dalam pengedaran besar-besaran dadah jenis syabu (methampethamine hidroklorida) dari Filipina ke negara lain di Asia.Maklumat itu diperoleh berdasarkan kemudahan tiga makmal syabu yang ditemui selain sejumlah besar dadah yang dirampas bernilai jutaan dolar Amerika.

Dalam operasi jam 10 pagi itu, pihak Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) menyerbu kawasan rumah teres dua tingkat itu sebelum memberkas semua suspek.

Siasatan menemui botol berisi cecair asid hidroklorida, sodium hidroklorida, barium sulfat, sodium acetate dan cecair kimia lain yang digunakan khas untuk memproses syabu.

"Ketika diserbu, semua suspek sibuk memproses syabu manakala seorang anggota sindiket warga China bertanggungjawab menyelia alatan khas untuk memasak syabu.

"Selain itu, serbuan turut dilakukan di sebuah rumah berhampiran resort di sungai Pagsanjan yang digunakan ahli sindiket sebagai tempat memproses dan mengeringkan syabu.

"Melalui maklumat, pihak berkuasa negara terbabit sudah mula menjalankan risikan terhadap aktiviti sindiket dadah itu sejak enam bulan lalu. Malah ia dikesan sudah beberapa kali menjalankan urus niaga penyeludupan dadah ke luar negara," katanya.

Polis negara terbabit sebelum ini pernah merampas syabu bernilai lebih AS$5 juta di sebuah gudang di bandar San Pedro, Filipina, tiga bulan lalu tetapi gagal memberkas suspek.

Maklumat siasatan mendapati suspek warga Malaysia itu pernah dikesan membina makmal dadah sama di Malaysia dan China.

"Seorang rakannya, warga China dikenali sebagai Chai sebelum ini pernah diberkas di Malaysia pada 2004, namun berjaya melarikan diri ketika dihantar pulang ke Fuzhou, China. Suspek kemudian menggunakan sekurang-kurangnya tujuh nama di Filipina," katanya.

Suspek rakyat Malaysia terbabit dan rakan warga China itu amat dikehendaki Suruhanjaya Kawalan Narkotik Kebangsaan China (NNCC).

"Dia turut dipercayai sebagai individu bertanggungjawab menyeludup 1.7 tan syabu ke Malaysia dan China pada 2004," katanya.

Peningkatan permintaan syabu selain Ecstacy di Asia dipercayai mempunyai kaitan dengan penyusutan bekalan candu dari kawasan Segitiga Emas di sempadan Thailand, Laos, Myanmar dan Vietnam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Mohd Zinin, ketika dihubungi Harian Metro semalam, mengesahkan penangkapan suspek rakyat Malaysia terbabit.

Menurutnya, lelaki itu dikehendaki di Malaysia berikutan pernah bergiat dalam sindiket pengedaran syabu di ibu kota.

"Dia sangat dikehendaki polis dan pernah ditahan di Semenyih atas kesalahan sama," katanya.

Difahamkan, pada April 2004 lelaki terbabit membina makmal memproses dadah berkenaan dan menggunakan khidmat dua pakar kimia asing bagi menguasai pasaran Asia Tenggara.

Namun, perbuatannya terbongkar apabila sepasukan polis menyerbu makmal sindiket itu di Kawasan Perindustrian Villa Raya, Batu 18, Kajang.

Hasilnya, polis merampas dua tan syabu mentah bernilai hampir RM2 juta yang ditaksirkan mencukupi untuk bekalan setahun di seluruh Asia Tenggara.

Dalam serbuan serentak di sekitar Lembah Klang dan Fu Jian, Shanghai, China, pihak berkuasa kedua-dua negara menahan 26 lelaki dan empat wanita berusia 22 hingga 45 tahun, dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Seramai 15 orang daripada mereka ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang termasuk dua rakyat tempatan.

Turut dirampas ialah dua pistol, 15 peluru hidup, wang tunai, empat kenderaan termasuk dua kereta mewah, pelbagai bahan kimia dan peralatan memproses dadah.

Sumber Harian Metro

0 comments: